Rom
1
Daripada Paulus, hamba Isa al-Masih yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah. Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, iaitu tentang Putera-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan dari keturunan Daud, namun dengan Roh Suci, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Putera Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Isa al-Masih, Junjungan kita. Melalui Isa al-Masih dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia dari segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya. Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi umat Isa al-Masih.
 
Aku menulis kepada kamu sekalian di Rom, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih.
 
Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih memberimu kasih kurnia dan kesejahteraan.
Paulus ingin pergi ke Rom
Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allah Tuhanku melalui Isa al-Masih kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu. Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam menyebarkan Injil Putera-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu 10 dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu.
11 Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu; 12 maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku. 13 Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada saja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku di kalanganmu membuahkan hasil, seperti di kalangan bangsa-bangsa asing yang lain.
14 Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. 15 Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyebarkan Injil di kalanganmu yang di Rom juga.
16 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana ia adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada bangsa asing. 17 Kerana di dalamnya kebenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Orang benar akan hidup dengan iman.’
Murka Allah terhadap manusia
18 Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan, 19 kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka. 20 Sejak wujudnya alam semesta, sifat-sifat Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan ketuhanan-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu tiada alasan bagi memaafkan mereka.
21 Walaupun mereka telah mengenal Allah, tetapi mereka tidak memuliakan-Nya dan tidak memuji-Nya dengan syukur, sebaliknya mereka memikirkan yang sia-sia dan jiwa mereka yang tolol diliputi kegelapan. 22 Mereka mengaku bijaksana, tetapi sebenarnya mereka tolol. 23 Mereka berpaling daripada kemuliaan Allah yang kekal lalu menyembah patung-patung yang diperbuat seperti bentuk manusia yang fana, burung, haiwan berkaki empat dan binatang yang menjalar.
24 Oleh itu Allah membiarkan mereka menurut nafsu melakukan pelbagai noda, maka mereka mencemari tubuh sesama sendiri. 25 Mereka merangkul yang palsu dan berpaling daripada yang benar daripada Allah. Mereka menyembah makhluk ciptaan dan berpaling daripada Allah Pencipta Yang Maha Suci dan Maha Tinggi selama-lamanya. Amin.
26 Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka didorong hawa nafsu yang keji. Kaum wanita mereka pun berpaling daripada yang tabii kepada yang di luar tabii. 27 Demikian juga kaum lelaki. Mereka berpaling daripada hubungan tabii dengan wanita dan dibakar syahwat terhadap sama sejenis. Lelaki dengan lelaki melakukan perkara yang aib, lalu menerima di dalam diri mereka hukuman yang setimpal.
28 Oleh sebab mereka enggan mengenal Allah, maka Allah membiarkan mereka dikuasai fikiran yang hina, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak wajar. 29 Mereka dipenuhi segala kemungkaran, kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah, 30 pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa, 31 tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan. 32 Mereka mengetahui hukuman Allah yang adil, iaitu sesiapa yang melakukan perkara demikian wajar dihukum mati. Namun, mereka bukan sahaja melakukannya malah juga menyokong orang lain yang mengamalkannya.