Filipi
1
Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Isa al-Masih,
 
Kepada semua orang salih dalam Isa al-Masih di Filipi, serta para pengurus dan penolong jemaah:
 
Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.
Ucapan syukur dan doa
Aku bersyukur kepada Tuhan setiap kali aku teringat akan kamu dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku, kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Isa al-Masih.
Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu telah mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Isa al-Masih.
Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian, 10 supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari al-Masih, 11 serta dipenuhi dengan segala yang dibuahi oleh kebenaran yang datang melalui Isa al-Masih, untuk memuji dan memuliakan Allah.
Kesaksian Paulus dalam penjara
12 Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. 13 Dengan demikian, nyatalah di kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana al-Masih. 14 Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.
15 Ada orang yang mengajarkan firman Allah kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. 16 Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. 17 Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang al-Masih untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara. 18 Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, al-Masih sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita.
19 Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Isa al-Masih. 20 Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalukan, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga al-Masih akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati. 21 Kerana bagiku, hidup adalah al-Masih, dan mati adalah keuntungan. 22 Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! 23 Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan al-Masih, itu jauh lebih baik, 24 tetapi kerana kamu, aku merasa perlu terus hidup dari segi jasmani. 25 Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, 26 supaya rasa sukacitamu dalam Isa al-Masih akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.
27 Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil al-Masih. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil, 28 dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah. 29 Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak al-Masih, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya. 30 Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.