Yakobus
1
Surat ini daripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Junjungan Isa al-Masih.
Kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku.
Cubaan dan godaan
Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan, kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan. Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun. Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka. Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin. Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan; pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu;
Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi. 10 Orang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput. 11 Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan bunga itu layu dan gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya.
12 Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya.
13 Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, ‘Godaan ini datang daripada Allah.’ Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. 14 Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. 15 Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.
16 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terpedaya. 17 Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. 18 Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.
Pendengar dan pelaku
19 Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. 20 Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. 21 Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.
22 Namun, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu. 23 Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, 24 meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. 25 Namun, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.
26 Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri. 27 Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.