Ibrani
1
Allah berfirman melalui Putera-Nya
Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta. Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga. Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.
Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman:
 
‘Engkau Putera-Ku,
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’?
 
Dan juga:
 
‘Aku akan menjadi Bapa-Nya,
dan Dia akan menjadi Putera-Ku’?
 
Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya:
 
‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’
 
Dan tentang para malaikat, Dia berfirman:
 
‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin,
dan para pelayan-Nya nyala api.’
 
Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman:
 
‘Takhta-Mu, Ya Allah,
kekal selama-lamanya;
Tongkat kebenaran adalah tongkat
kerajaan-Mu.
Engkau telah mencintai kebenaran dan
membenci kejahatan;
Oleh itu Allah, Tuhan-Mu,
telah mengurapi-Mu
dengan minyak kebahagiaan lebih
daripada teman-teman-Mu.’
 
10 Dan:
 
‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku,
yang meletakkan asas bumi,
dan seluruh langit adalah hasil
kerja tangan-Mu;
11 Bumi dan langit akan binasa,
tetapi Engkau kekal;
dan segalanya akan menjadi
usang seperti pakaian;
12 Seperti jubah, Engkau akan
menggulungnya;
seperti baju yang ditukar,
semuanya akan diubah.
Tetapi Engkau tetap sama,
dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’
 
13 Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman:
 
‘Duduklah di sebelah kanan-Ku,
sehingga Aku menjadikan
musuh-Mu alas kaki-Mu’?
 
14 Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?