2 Timotius
1
Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup di dalam Isa al-Masih,
 
Kepada Timotius, anakku yang dikasihi:
 
Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih, Junjungan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.
Kesetiaan dalam iman
Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai di jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga. Oleh itu aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. Allah tidak memberi kita semangat ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.
Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Junjungan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi bersamalah denganku menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah. Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih sebelum permulaan zaman. 10 Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Isa al-Masih, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil. 11 Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru. 12 Oleh itu aku menanggung segala penderitaan ini. Namun, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu.
13 Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih. 14 Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Suci yang berada dalam diri kita.
15 Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.
16 Semoga Tuhan menunjukkan kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan, 17 malah apabila dia tiba di Rom, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu. 18 Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.