22
Nama baik lebih baik daripada harta yang banyak; dikasihi orang lebih baik daripada diberikan perak dan emas.
Orang kaya dan orang miskin mempunyai satu persamaan: TUHAN mencipta kedua-duanya.
Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.
Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN, serta merendahkan diri akan mendapat kekayaan, kehormatan, dan usia panjang.
Orang yang menyayangi nyawanya harus menjauhkan diri daripada perangkap dan jerat pada jalan yang ditempuh oleh orang jahat.
Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.
Orang miskin dikuasai orang kaya. Orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam.
Orang yang menabur ketidakadilan akan menuai bencana, dan kuasanya untuk menindas orang lain akan berakhir.
Orang yang murah hati dan membahagikan makanan kepada orang miskin akan diberkati TUHAN.
10 Usirlah orang yang suka menghina, barulah tiada pertengkaran, perbantahan, dan caci maki.
11 Orang yang tulus hatinya dan halus pertuturannya akan menjadi sahabat raja.
12 TUHAN memastikan bahawa kebenaran terpelihara dengan membongkar kebohongan pendusta.
13 Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam singa jika dia keluar.
14 Rayuan perempuan jalang merupakan lubang yang dalam: orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya.
15 Kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan, tetapi rotan dapat mengajar mereka mengubah kelakuan.
16 Sesiapa yang menindas orang miskin untuk menjadi kaya atau memberikan hadiah kepada orang kaya, pada akhirnya akan melarat.
Tiga Puluh Pepatah Orang Bijak
17 Dengarlah, aku akan mengajar kamu pepatah orang bijak. Kajilah ajaran mereka. 18 Berbahagialah orang yang dapat menghafaz ajaran itu dan mengutipnya apabila diperlukan. 19 Aku hendak kamu percaya kepada TUHAN, itulah sebabnya aku mengajarkannya kepada kamu sekarang. 20 Aku telah menuliskan tiga puluh pepatah yang mengandungi pengetahuan dan nasihat baik, 21 yang akan mengajar kamu apa yang sungguh-sungguh benar. Nanti, jika kamu ditanya, kamu dapat memberikan jawapan yang tepat.
- 1 -
22 Jangan perdaya orang miskin kerana mereka miskin, dan jangan tipu mereka di mahkamah. 23 TUHAN akan membela mereka, dan mencabut nyawa orang yang menindas mereka.
- 2 -
24 Jangan bersahabat dengan orang yang suka marah dan cepat naik darah. 25 Jangan-jangan kamu ikut kelakuan mereka, lalu tidak dapat mengubah kebiasaan itu.
- 3 -
26 Jangan berjanji untuk menanggung hutang orang lain. 27 Jika kamu tidak dapat menjelaskan hutangnya, katil kamu pun akan dirampas.
- 4 -
28 Jangan pindahkan batas tanah yang ditetapkan oleh nenek moyang kamu.
- 5 -
29 Orang yang cekap bekerja akan bertugas untuk raja-raja dan bukan untuk orang biasa.