20
1 Minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk.
2 Takut akan raja yang murka seperti takut akan singa yang mengaum. Orang yang membangkitkan kemurkaan raja hanya membinasakan diri sendiri.
3 Hanya orang bodoh suka bertengkar; sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran.
4 Petani yang malas mengerjakan tanah pada musimnya tidak akan mendapat hasil pada musim menuai.
5 Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.
6 Banyak orang mengaku diri mereka taat setia, tetapi yang betul-betul setia, sukar ditemukan.
7 Berbahagialah anak-anak yang mempunyai bapa yang jujur dan adil.
8 Apabila raja mengadili orang, raja dapat melihat apa yang jahat.
9 Dapatkah orang berkata dengan sungguh-sungguh bahawa hati nurani mereka bersih, dan dosa mereka sudah dihapuskan?
10 TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan dan ukuran yang tidak tepat.
11 Perbuatan seorang anak dapat menunjukkan kelakuannya; kamu akan tahu sama ada dia baik atau jahat.
12 TUHAN sudah memberi kita mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar.
13 Orang yang suka tidur akan jatuh miskin. Orang yang rajin bekerja mendapat banyak makanan.
14 Pembeli sentiasa bersungut bahawa harga barang mahal, tetapi setelah membeli barang itu mereka bercakap besar tentang harga murah yang dibayar mereka.
15 Kata-kata bijak lebih berharga daripada emas atau batu permata.
16 Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya.
17 Hasil daripada penipuan mula-mula lazat rasanya, tetapi kemudian terasa seperti pasir belaka.
18 Mintalah nasihat supaya berjaya. Jangan pergi berperang tanpa membuat rancangan.
19 Orang yang mengumpat tidak sekali-kali dapat menyimpan rahsia. Jangan bergaul dengan orang yang suka merepek.
20 Sesiapa yang mengutuk ibu bapanya, hidupnya akan lenyap seperti pelita yang padam di tempat gelap.
21 Kekayaan yang mudah diperoleh, tidak membawa berkat.
22 Jangan balas dendam; percayalah kepada TUHAN dan Dia akan menolong kamu.
23 Neraca dan timbangan yang tidak tepat, dibenci oleh TUHAN.
24 TUHAN telah menentukan jalan hidup manusia; itulah sebabnya manusia tidak dapat memahami jalan hidup mereka.
25 Fikirlah baik-baik sebelum menjanjikan korban kepada Allah supaya kamu tidak menyesal.
26 Raja yang bijak mengetahui siapa yang jahat; raja akan menghukum mereka tanpa belas kasihan.
27 TUHAN memberi kita fikiran dan hati nurani; oleh itu kita tidak dapat berdusta kepada diri kita sendiri.
28 Raja hanya dapat memerintah selama pemerintahannya jujur, tulus, dan adil.
29 Orang muda dikagumi kerana kekuatan, dan orang tua dihormati kerana uban.
30 Kadang kala pengalaman pahit menghapuskan kejahatan dan membersihkan hati manusia.