11
1 TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan. Dia berkenan kepada orang yang menggunakan timbangan yang tepat.
2 Orang yang sombong akan dipermalukan. Bersikap rendah hati adalah lebih bijaksana.
3 Orang baik dipimpin oleh kejujuran. Orang yang tidak dapat dipercayai dibinasakan oleh kecurangan.
4 Kekayaan tidak bererti apabila orang menghadapi maut, tetapi kejujuran dapat menyelamatkan orang.
5 Hidup orang jujur senang kerana kejujuran mereka, tetapi orang jahat jatuh kerana kejahatan mereka.
6 Orang jujur selamat kerana ketulusan hati mereka; orang yang tidak dapat dipercayai, diperangkap oleh ketamakan mereka.
7 Apabila orang jahat meninggal, harapan mereka pun lenyap; berharap kepada kekayaan sia-sia sahaja.
8 Orang salih terpelihara daripada kesusahan, tetapi orang jahat ditimpa kesusahan.
9 Percakapan orang jahat membinasakan orang; hikmat menyelamatkan orang baik.
10 Seluruh kota bersukacita apabila orang jujur mendapat rezeki; rakyat bersorak-sorai apabila orang jahat mati.
11 Restu orang jujur memakmurkan kota; perkataan orang jahat memusnahkan kota.
12 Menghina orang lain adalah perbuatan bodoh. Orang yang bijak lebih suka berdiam diri.
13 Orang yang mengumpat tidak dapat menyimpan rahsia, tetapi orang yang dapat dipercayai boleh merahsiakan perkara.
14 Bangsa akan jatuh jika tidak ada pemimpin yang bijak, tetapi selamat jika mendapat banyak penasihat.
15 Berjanji membayar hutang orang lain bererti mendatangkan celaka; lebih baik tidak terlibat dalam hal itu.
16 Wanita yang baik budi dihormati orang, tetapi wanita yang tidak berbudi dipermalukan.
Orang malas tidak akan mendapat wang; tetapi orang yang bekerja keras akan menjadi kaya.
17 Orang yang baik hati menguntungkan diri; orang yang kejam merugikan diri.
18 Orang jahat tidak mendapat keuntungan yang sebenar, tetapi orang yang berbuat baik mendapat keuntungan sejati.
19 Sesiapa yang bertekad melakukan kebaikan akan hidup bahagia, tetapi sesiapa yang berkeras melakukan kejahatan menuju maut.
20 TUHAN membenci orang yang berhati jahat, tetapi Dia mengasihi orang yang hidup tanpa cela.
21 Orang jahat pasti akan dihukum, tetapi orang baik akan selamat.
22 Kecantikan pada wanita yang tidak berbudi bagaikan cincin emas pada jongor babi.
23 Keinginan orang baik selalu menghasilkan yang baik, tetapi apabila orang jahat mendapat keinginan mereka, semua orang menjadi marah.
24 Ada orang yang suka memberi tetapi masih bertambah kaya. Ada orang yang kedekut, tetapi bertambah miskin pula.
25 Orang yang murah hati akan menjadi makmur. Orang yang suka menolong akan ditolong juga.
26 Orang yang menyorok gandum akan dikutuk, tetapi orang yang menjual gandum akan dipuji.
27 Orang yang bermaksud baik akan dihormati; orang yang mencari kejahatan akan mendapat kejahatan.
28 Orang yang bergantung kepada kekayaan akan jatuh seperti daun kering, tetapi orang salih akan menjadi makmur seperti tanaman subur.
29 Orang yang mendatangkan kesusahan kepada keluarganya, tidak akan memiliki apa-apa.
Orang bodoh akan menjadi hamba orang bijak selama-lamanya.
30 Kesalihan memberikan hidup, tetapi keganasan mencabut hidup itu.
31 Jika orang baik menerima balasan di dunia, pastilah orang jahat dan berdosa mendapat hukuman.