27
Pada hari itu TUHAN akan menggunakan pedang-Nya yang besar, tajam, dan yang membawa maut untuk menghukum Lewiatan, ular yang meluncur dan yang melingkar-lingkar itu, dan untuk membunuh naga laut.p +
Pada hari itu TUHAN akan berfirman tentang ladang anggur-Nya yang indah, “Aku menjaga ladang itu dan selalu menyiramnya. Aku menjaganya siang malam supaya tiada seorang pun dapat mengganggunya. Aku tidak murka lagi terhadap ladang itu. Jika terdapat duri dan belukar di situ, Aku akan membakarnya habis-habis. Tetapi jika musuh umat-Ku menghendaki perlindungan-Ku, biarlah mereka berdamai dengan Aku. Ya, biarlah mereka berdamai dengan Aku.”
Pada masa hadapan, umat Israel iaitu keturunan Yakub akan berakar seperti sebatang pokok, dan mereka akan bertunas serta berbunga. Bumi akan dipenuhi buah-buah mereka.
TUHAN Menghukum Umat-Nya
Israel belum pernah dihukum oleh TUHAN seberat musuh mereka. Mereka juga belum pernah kehilangan begitu banyak rakyat seperti musuh mereka. TUHAN menghukum umat-Nya dengan membuang mereka ke negeri orang. Dia mengusir mereka dengan angin kejam dari timur. Dosa Israel hanya dapat diampunkan apabila batu mazbah dewa-dewa telah dihancurkan sehingga menjadi seperti kapur, dan tiada lagi mazbah untuk membakar kemenyan, dan tiada lagi lambang-lambang Dewi Asyera.
10 Kota berkubu itu sudah menjadi sepi dan ditinggalkan sehingga tidak berpenghuni seperti padang gurun. Kawanan lembu merumput dan berehat di situ sambil menghabiskan daun dari dahan-dahan pokok. 11 Apabila dahan pokok telah kering dan patah, dahan-dahan itu dikumpulkan oleh kaum wanita untuk dijadikan kayu api. Kerana bangsa itu tidak mengerti apa-apa, Allah Pencipta mereka tidak menyayangi ataupun mengasihani mereka.
TUHAN Memulihkan Umat-Nya
12 Pada masa itu, dari Sungai Efrat sampai ke sempadan negeri Mesir, TUHAN akan mengumpulkan umat-Nya seorang demi seorang, seperti orang memisahkan gandum daripada sekam.
13 Pada hari itu, trompet akan ditiup untuk memanggil pulang semua orang Israel dalam pembuangan di Asyur dan Mesir. Mereka akan datang ke Yerusalem dan menyembah TUHAN di atas bukit-Nya yang suci.q
p 27:1 Lewiatan...naga laut: Binatang-binatang dahsyat yang diceritakan dalam dongeng-dongeng dan yang melambangkan bangsa-bangsa yang menindas Israel. + 27:1 Ayb 41.1; Mzm 74.14, 104.26 q 27:13 bukit yang suci: Lihat 2.3.