Kelahiran Ishak
21
1 TUHAN memberkati Sara sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya.
2 Pada masa yang telah ditentukan Allah, ketika Abraham sudah tua, Sara mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki.
3 Abraham menamakan anak itu Ishak.
4 Ketika Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya, menurut perintah Allah.
5 Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan.
6 Sara berkata, “Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku.”
7 Kemudian dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat berkata kepada suamiku bahawa aku akan menyusui anak? Namun aku sudah melahirkan juga seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.”
8 Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia bercerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar.
Hagar dan Ismael Diusir
9 Pada suatu hari Ismael, anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak, anak Sara.
10 Sara nampak hal itu lalu berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama dengan anak lelakinya. Anak hamba perempuan ini tidak boleh mendapat bahagian daripada hartamu yang akan diwarisi anak lelakiku, Ishak.”
11 Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael anaknya juga.
12 Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, “Janganlah bersusah hati kerana hambamu Hagar dan anaknya itu. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kepadamu kerana melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu.
13 Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga.”
14 Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba.
15 Apabila air di dalam kirbat sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar,
16 lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Lalu dia menangis.
17 Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, “Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.
18 Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar.”
19 Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.
20 Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir.
21 Ibunya mengahwinkan dia dengan seorang wanita Mesir.
Perjanjian antara Abraham dan Raja Abimelekh
22 Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, “Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.
23 Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal.”
24 Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.”
25 Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda.
26 Raja Abimelekh bertitah, “Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu.”
27 Kemudian Abraham memberikan beberapa ekor domba dan lembu kepada Raja Abimelekh, lalu mereka berdua membuat perjanjian.
28 Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba daripada kawanan ternakannya,
29 lalu Raja Abimelekh bertanya kepadanya, “Mengapa kamu melakukan hal itu?”
30 Abraham menjawab, “Terimalah ketujuh-tujuh ekor anak domba ini sebagai tanda pengakuan raja bahawa hambalah yang menggali perigi ini.”
31 Demikianlah tempat itu dinamakan Bersyeba, kerana di sanalah mereka berdua membuat satu perjanjian dengan sumpah.
32 Setelah mereka membuat perjanjian di Bersyeba, Raja Abimelekh dan Pikhol kembali ke negeri orang Filistin.
33 Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Bersyeba, lalu menyembah TUHAN, Allah yang abadi.
34 Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin.