Periuk yang Berkarat
24
1 Pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh, tahun kesembilan masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, catatkan tarikh hari ini, kerana pada hari inilah raja Babilonia mula mengepung Yerusalem.
3 Aku, TUHAN Raja mempunyai perumpamaan untuk disampaikan kepada umat-Ku yang suka memberontak:
Letakkan periuk di atas api,
dan penuhkan periuk dengan air.
4 Masukkan daging yang terbaik di dalamnya:
daging bahu dan daging paha,
dan tulang-tulang yang banyak sumsumnya.
5 Gunakan daging domba yang terbaik,
dan susunlah kayu di bawah periuk.
Biarlah airnya mendidih,
rebuslah daging dan tulang-tulang itu.”
6 Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Keadaannya seperti periuk berkarat yang tidak pernah dibersihkan. Daging yang ada di dalamnya dikeluarkan sepotong demi sepotong, sehingga semuanya habis.
7 Pembunuhan berlaku di dalam kota, dan darah dicurah ke atas batu. Darah itu tidak dicurah ke atas tanah supaya ditutup oleh tanah.
8 Darah itu Aku brkan di situ, supaya dapat dilihat orang dan menuntut balasan.”
9 Inilah firman TUHAN Raja, “Malanglah kota yang penuh dengan pembunuh! Aku sendiri akan menyusun kayu api.
10 Tambahlah kayu lagi! Kipaslah api! Masaklah daging itu! Masaklah hingga kuahnya kering. Bakarlah tulang-tulangnya!
11 Lalu tinggalkanlah periuk gangsa yang kosong di atas api sehingga merah membara. Sesudah karatnya terbakar, periuk itu akan bersih semula menurut peraturan agama.
12 Tetapi tidak semua karatnya akan hilang dibakar api.
13 Hai Yerusalem, kecabulanmu telah menajiskan engkau. Walaupun Aku mencuba membersihkan engkau, namun engkau tetap najis. Engkau tidak akan bersih semula sehingga engkau merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.
14 Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Sudah tiba masanya bagi Aku bertindak. Aku tidak akan melupakan dosamu ataupun menunjukkan belas kasihan kepadamu. Engkau akan dihukum kerana perbuatanmu.” TUHAN Raja telah berfirman.
Kematian Isteri Nabi Yehezkiel
15 TUHAN berfirman kepadaku,
16 “Hai manusia fana, dengan tiba-tiba Aku akan mengambil orang yang paling engkau kasihi, tetapi engkau tidak boleh meratap, atau menangis, atau membiarkan air matamu berlinang.
17 Jangan biar orang mendengar sedu-sedanmu. Jangan berjalan tanpa ikat kepala atau kasut sebagai tanda berkabung. Jangan tutupi muka atau makan makanan perkabungan.”
18 Pada pagi hari aku bercakap dengan umat itu dan pada malam itu isteriku meninggal. Esok harinya aku melakukan apa yang diperintahkan kepadaku.
19 Orang bertanya kepadaku, “Mengapakah kamu berbuat begitu?”
20 Aku menjawab demikian, “TUHAN telah berfirman kepadaku dan menyuruh aku
21 menyampaikan perkhabaran ini kepada kamu, umat Israel: Kamu membanggakan kekukuhan Rumah TUHAN. Kamu suka memandang dan melawatnya, tetapi TUHAN akan menajiskannya. Anggota keluarga kamu yang masih muda, yang tertinggal di Yerusalem akan dibunuh dalam peperangan.
22 Kemudian kamu akan melakukan apa yang aku lakukan sekarang. Kamu tidak akan menutupi muka atau makan makanan perkabungan.
23 Kamu tidak akan berjalan tanpa ikat kepala, atau kasut. Kamu tidak akan meratap atau menangis. Kamu akan semakin merana kerana dosa-dosa kamu, dan kamu akan mengeluh kepada satu sama lain.
24 Pada masa itu aku akan menjadi tanda bagi kamu. Kamu akan melakukan apa yang aku lakukan sekarang. TUHAN berfirman bahawa apabila perkara itu berlaku, kamu akan tahu bahawa Dialah TUHAN Raja.”
25 TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, Aku akan mengambil Rumah-Ku yang kukuh itu daripada mereka, Rumah yang telah menjadi kebanggaan dan kesukaan mereka, dan yang dipandang serta dilawati mereka dengan suka hati. Lalu Aku akan mengambil anak-anak mereka juga.
26 Pada hari Aku melakukan perkara itu, seorang yang terselamat daripada bencana itu akan datang untuk memberitahu engkau hal itu.
27 Pada hari itu juga engkau akan dapat bercakap semula, dan engkau akan bercakap dengan dia. Dengan demikian, engkau akan menjadi tanda bagi umat, dan mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”