2
1 Aku bunga mawar di Saron, 
bunga bakung di lembah gunung. 
Lelaki 
2 Seperti bunga bakung antara semak berduri, 
demikianlah sayangku antara puteri. 
Wanita 
3 Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan, 
demikianlah sayangku antara kaum lelaki. 
Aku suka bernaung di bawahnya, 
buah-buahnya manis rasanya. 
4 Dia membawa aku ke dewan pesta, 
pandangannya padaku penuh cinta. 
5 Kuatkanlah aku dengan kismis, 
segarkanlah aku dengan epal, 
kerana aku sakit asmara. 
6 Tangan kirinya menopang kepalaku, 
tangan kanannya membelai aku. 
7 Berjanjilah, 
hai puteri-puteri Yerusalem, 
demi rusa dan kijang di padang 
bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. 
Nyanyian Kedua 
Wanita 
8 Aku mendengar suara kekasihku. 
Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung. 
9 Kekasihku seperti kijang; 
dia seperti anak rusa. 
Di balik tembok dia berdiri, 
dengan matanya dia menatap, 
dan mengintip dari kisi-kisi tingkap. 
10 Kekasihku berkata-kata kepadaku. 
Lelaki 
Marilah, hai sayangku, 
marilah jelitaku, marilah. 
11 Musim sejuk sudah berlalu; 
hujan pun sudah berhenti. 
12 Bunga di padang sudah mekar. 
Inilah masanya untuk menyanyi; 
bunyi tekukur terdengar di padang. 
13 Buah ara mula masak; 
pokok anggur semerbak harum bunganya. 
Marilah, hai sayangku, 
marilah jelitaku, marilah. 
14 Engkau seperti burung merpati 
yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. 
Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, 
biarlah kudengar suaramu yang merdu. 
15 Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, 
rubah yang merosakkan ladang anggur, 
kerana pokok anggur kita sedang berbunga. 
Wanita 
16 Kekasihku kepunyaanku, 
dan aku kepunyaannya. 
Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung 
17 sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. 
Kembalilah, hai sayangku, 
seperti kijang, 
seperti anak rusa di pergunungan Beter.