Kali Kedua Daud Tidak Membunuh Raja Saul
26
1 Pada suatu hari beberapa orang dari Zif berjumpa dengan Raja Saul di Gibea. Mereka memberitahu Raja Saul bahawa Daud bersembunyi di Bukit Hakhila, di pinggir padang gurun Yehuda.
2 Dengan segera Raja Saul berangkat ke padang gurun Zif bersama dengan tiga ribu orang askar yang terbaik di Israel untuk mencari Daud.
3 Raja Saul dan pasukannya berkhemah di tepi jalan di Bukit Hakhila. Pada masa itu Daud masih di padang gurun itu, lalu dia mendengar bahawa Raja Saul sudah datang mencarinya di padang gurun.
4 Oleh itu dia mengirim beberapa orang pengintip. Lalu dia diberitahu bahawa memang benar Raja Saul berada di sana.
5 Dengan segera Daud pergi ke perkhemahan Raja Saul, dan mendapati khemah tempat Raja Saul tidur dekat Abner anak Ner, panglima tentera. Khemah Raja Saul itu terletak di tengah-tengah dan tenteranya berkhemah di sekelilingnya.
6 Kemudian Daud bertanya kepada Ahimelekh orang Het itu, dan kepada Abisai saudara Yoab, (ibu mereka ialah Zeruya), “Siapa yang berani masuk ke dalam perkhemahan Raja Saul bersama dengan aku?”
“Saya,” jawab Abisai.
7 Pada malam itu Daud dan Abisai menyelinap ke dalam perkhemahan Raja Saul, lalu melihat Raja Saul sedang tidur di tengah-tengah perkhemahan. Tombak Raja Saul tertancap di tanah dekat kepalanya. Abner dan pasukannya tidur di sekeliling Raja Saul.
8 Abisai berkata kepada Daud, “Allah telah menyerahkan musuh tuan kepada tuan pada malam ini. Benarkanlah saya menancapkan tombaknya sendiri ke badannya sehingga tembus ke tanah. Saya akan membunuh dia dengan sekali tikaman saja, tidak usah sampai dua kali!”
9 Tetapi Daud berkata, “Janganlah kauapa-apakan baginda! Tentu TUHAN akan menghukum orang yang berbuat jahat kepada raja yang dipilih-Nya.
10 Demi TUHAN yang hidup, aku tahu bahawa TUHAN sendiri akan membunuh Raja Saul, sama ada oleh kematian biasa ketika akhir hayatnya sudah sampai, ataupun disebabkan oleh peperangan.
11 Kiranya TUHAN mencegah aku membunuh raja yang dipilih-Nya! Kita ambil tombak dan kendinya saja, lalu pergi dari sini!”
12 Oleh itu Daud mengambil tombak dan kendi Raja Saul yang terletak di sebelah kepalanya, lalu mereka pergi. Tiada seorang pun nampak hal itu atau mengetahui apa yang telah terjadi, ataupun terbangun, kerana TUHAN menyebabkan mereka semua tertidur dengan nyenyak.
13 Selepas itu Daud menyeberang lembah itu ke pinggir yang lain dan naik ke puncak bukit, sehingga dia cukup jauh dari perkhemahan Raja Saul.
14 Kemudian Daud berteriak kepada Abner dan tentera Raja Saul, “Hai Abner, dapatkah kamu mendengar suaraku?”
Abner bertanya, “Siapakah kamu yang berteriak-teriak dan membangunkan raja?”
15 Daud menjawab, “Hai Abner, bukankah kamu orang yang paling hebat di seluruh Israel? Mengapa kamu tidak melindungi raja tuanmu? Baru saja ada orang masuk ke dalam perkhemahan untuk membunuh tuanmu.
16 Tetapi kamu tidak menjalankan tugas. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup, hai Abner, bahawa kamu semua tidak layak hidup. Kamu tidak melindungi tuanmu yang sudah dilantik menjadi raja oleh TUHAN. Lihatlah! Di manakah tombak raja? Di mana pula kendi yang terletak di sebelah kepalanya?”
17 Raja Saul mengenali suara Daud, lalu dia bertanya, “Daud, kamukah itu, anakku?”
“Ya, tuanku,” jawab Daud.
18 Daud berkata lagi, “Mengapakah tuanku masih mengejar hamba tuanku ini? Apakah yang sudah hamba lakukan? Apakah kesalahan hamba?
19 Tuanku, dengarlah kata-kata hamba. Sekiranya TUHAN yang menyuruh tuanku supaya melawan hamba, suatu persembahan korban akan dapat meredakan kemurkaan-Nya terhadap hamba. Tetapi sekiranya yang menyuruh tuanku itu manusia, semoga mereka dikutuk oleh TUHAN! Akibat perbuatan mereka itu, hamba sudah diusir dari tanah milik TUHAN dan terpaksa pergi ke negeri lain. Di sana hamba harus beribadat kepada dewa-dewa asing.
20 Janganlah biarkan hamba mati di negeri orang, jauh daripada TUHAN. Mengapakah raja Israel hendak membunuh hamba yang sehina kutu ini? Mengapakah tuanku mahu memburu hamba seperti orang memburu ayam hutan?”
21 Raja Saul menjawab, “Sesungguhnya beta sudah berdosa. Baliklah, hai Daud anak beta! Beta tidak akan berbuat jahat terhadapmu lagi. Malam tadi kamu telah membiarkan beta hidup. Kelakuan beta sungguh bodoh! Perbuatan beta sangat dahsyat!”
22 Daud berkata, “Inilah tombak tuanku. Suruhlah salah seorang askar tuanku datang untuk mengambilnya.
23 TUHAN selalu memberkati orang yang setia dan jujur. Meskipun pada hari ini Dia telah menyerahkan tuanku kepada hamba, namun hamba tidak berbuat jahat terhadap tuanku, raja yang sudah dipilih oleh TUHAN.
24 Sebagaimana hamba sudah membiarkan tuanku hidup, semoga TUHAN juga membiarkan hamba hidup dan membebaskan hamba daripada segala kesusahan!”
25 Raja Saul bertitah kepada Daud, “Allah memberkatimu, hai anakku! Kamu akan berjaya dalam segala usahamu!”
Kemudian Daud meneruskan perjalanannya, dan Raja Saul pulang ke rumah.