1 SAMUEL
Kata Pengantar
Kitab 1 Samuel mengandungi sejarah Israel dalam masa peralihan dari zaman Hakim-Hakim kepada zaman Raja-Raja. Perubahan dalam sejarah umat Israel itu khasnya berkisar pada tiga orang: Nabi Samuel, Raja Saul, dan Raja Daud. Pengalaman-pengalaman Raja Daud pada masa mudanya, ketika baginda belum menjadi raja, terjalin erat dengan kisah Samuel dan Raja Saul.
Sebagaimana tema kebanyakan kitab-kitab sejarah yang lain di dalam Perjanjian Lama, kitab ini juga bertemakan hal yang sama, iaitu, orang akan berjaya jika setia kepada Allah, dan malang jika menderhaka. Hal ini jelas dinyatakan dalam firman Tuhan kepada Imam Eli dalam fasal 2 ayat 30, “...mereka yang menghormati Aku akan Kuhormati, dan mereka yang menghina Aku akan dihina.”
Kitab ini menyatakan perasaan yang berbeza-beza tentang pembentukan kerajaan Israel. Walaupun Tuhan sendiri sudah dianggap raja di Israel, tetapi untuk memenuhi permintaan umat itu, Tuhan melantik seorang raja bagi mereka. Perkara yang penting adalah baik raja mahupun rakyat, hidup di bawah kedaulatan Allah, Hakim mereka (2.7-10). Di bawah hukum-hukum Allah, haruslah dijamin hak rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin.
Kandungan
Samuel sebagai Hakim Umat Israel 1.1—7.17
Saul Menjadi Raja 8.1—10.27
Awal Pemerintahan Raja Saul 11.1—15.35
Daud dan Raja Saul 16.1—30.31
Raja Saul dan Putera-Puteranya Mangkat 31.1—13
Elkana dan Keluarganya di Silo
1
1 Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf.
2 Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak.
3 Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN.
4 Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya.
5 Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya.
6 Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana.
7 Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa.
8 Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?”
Hana dan Eli
9-10 Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.
11 Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.”
12 Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana.
13 Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli.
14 Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!”
15 Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN.
16 Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.”
17 Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.”
18 “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.
Samuel Dilahirkan dan Diserahkan kepada Allah
19 Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana.
20 Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.”
21 Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas.
22 Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, “Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya.”
23 Elkana berkata, “Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan.” Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu.
24 Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain.
25 Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli.
26 Hana berkata kepada Eli, “Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN.
27 Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya.
28 Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya.”
Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ.