2
Raja Pilihan Allah 
1 Mengapakah bangsa-bangsa membuat huru-hara 
dan rakyat merancangkan yang sia-sia? 
2 Raja-raja dunia memberontak, 
para pemerintah berkomplot 
menentang TUHAN dan raja pilihan-Nya.  
3 Mereka berkata, 
“Marilah kita bebaskan diri daripada kekuasaan mereka, 
marilah kita gulingkan pemerintahan mereka.” 
4 Dari takhta-Nya di syurga TUHAN tertawa 
dan mencemuh rancangan mereka. 
5 Dia menegur mereka dengan marah, 
dan menakutkan mereka dengan kemurkaan-Nya. 
6 Dia berfirman, “Di Sion, bukit-Ku yang suci, 
Aku telah menabalkan raja-Ku.” 
7 Raja bertitah, “Aku akan mengumumkan 
apa yang dinyatakan oleh TUHAN. 
Dia berfirman kepadaku, ‘Engkaulah anak-Ku; 
pada hari ini Aku menjadi Bapamu.  
8 Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu, 
dan seluruh bumi akan Kujadikan milikmu. 
9 Engkau akan menghancurkan mereka dengan pemerintahan tangan besi; 
engkau akan menghancurkan mereka seperti periuk tanah.’”  
10 Bertindaklah dengan bijak, hai raja-raja; 
dengarlah amaran ini, hai pemerintah dunia! 
11 Berbaktilah kepada TUHAN dengan hormat; 
12 bersujudlah di hadapan-Nya dengan gementar; 
jangan sampai TUHAN murka lalu kamu dibinasakan dengan tiba-tiba 
kerana cepat sekali kemurkaan-Nya menyala. 
Berbahagialah semua orang yang berlindung kepada-Nya!