132
Pujian bagi Rumah TUHAN 
1 Lagu ziarah. 
Ya TUHAN, ingatlah akan Daud, 
dan segala kesusahan yang ditanggungnya. 
2 Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN, 
dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub. 
3 Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur; 
4 aku tidak akan berehat atau melelapkan mata, 
5 sehingga aku membina rumah bagi TUHAN, 
tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.” 
6 Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem, 
dan menemuinya di padang Yaar. 
7 Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN; 
marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.” 
8 Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN, 
bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu. 
9 Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar; 
hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita. 
10 Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu. 
Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu.  
11 Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud - 
Engkau tidak akan memungkiri janji ini: 
“Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja, 
dan dia akan mewarisi takhtamu.  
12 Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku, 
dan kepada perintah yang Aku beri mereka, 
maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.” 
13 TUHAN telah memilih Sion; 
Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya. 
14 Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya; 
Aku hendak tinggal di tempat ini. 
15 Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah; 
Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan. 
16 Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku, 
dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita. 
17 Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung; 
Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku.  
18 Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya, 
tetapi kerajaannya aman dan makmur.”