Ucapan Elihu 
(32.1—37.24) 
32
1 Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi. 
2 Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram. 
3 Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia. 
4 Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap. 
5 Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah 
6 dan berkata demikian, 
“Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua, 
oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku. 
7 Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap, 
dan yang lebih tua membahagikan hikmat. 
8 Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa 
yang memberikan hikmat kepada manusia. 
9 Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya; 
orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya. 
10 Oleh itu, dengarkanlah aku; 
biarlah aku memberitahu kamu pendapatku. 
11 Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap, 
dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak. 
12 Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan. 
Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan. 
13 Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat? 
Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal. 
14 Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku, 
tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu. 
15 Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan; 
tiada lagi yang dapat dikatakan mereka. 
16 Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri? 
Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi. 
17 Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku, 
dan memberitahu kamu fikiranku. 
18 Aku tidak sabar lagi menunggu. 
Aku tidak dapat menahan kata-kataku. 
19 Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup, 
seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru. 
20 Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang; 
aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan. 
21 Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun; 
aku tidak akan memuji sesiapa pun. 
22 Cara memuji pun aku tidak tahu. 
Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku.