13
Mungkin seorang nabi ataupun pentafsir mimpi berjanji akan mengadakan perbuatan ajaib atau mukjizat untuk mengajak kamu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah. Walaupun perkara yang dijanjikan oleh nabi itu benar-benar berlaku, jangan pedulikan kata-katanya. TUHAN, Allah kamu menggunakan dia untuk menguji kamu, supaya TUHAN tahu sama ada kamu mengasihi-Nya dengan sepenuh hati atau tidak. Ikutlah TUHAN dan hormatilah Dia. Taatilah Dia dan patuhilah perintah-Nya; sembahlah Dia dan setialah kepada-Nya. Tetapi bunuhlah nabi atau pentafsir mimpi yang menyuruh kamu memberontak terhadap TUHAN yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. Orang seperti itu jahat dan cuba menyesatkan kamu daripada kehidupan yang diperkenankan oleh TUHAN. Orang itu mesti dibunuh, supaya kejahatan itu dibasmi dari kalangan kamu.
Bahkan saudara kamu, atau anak lelaki kamu, atau anak perempuan kamu, atau isteri yang kamu kasihi, atau sahabat karib kamu pun, mungkin dengan diam-diam memujuk kamu untuk menyembah tuhan-tuhan lain, yang tidak pernah kamu sembah, dan yang tidak pernah disembah oleh nenek moyang kamu. Salah seorang di kalangan mereka mungkin memujuk kamu untuk menyembah tuhan-tuhan bangsa yang tinggal dekat dengan kamu, atau tuhan-tuhan bangsa yang tinggal jauh. Tetapi jangan biar orang itu memujuk kamu, dan jangan dengarkan kata-katanya. Jangan kasihani orang itu dan jangan lindungi dia. Bunuhlah dia! Biarlah kamu menjadi orang pertama yang merejam dia, lalu biarlah semua orang lain merejam dia. 10 Rejamlah dia sampai mati! Dia cuba menjauhkan kamu daripada TUHAN, Allah kamu, yang sudah menyelamatkan kamu dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. 11 Kemudian semua orang Israel akan mendengar hal yang berlaku, dan mereka akan takut. Seorang pun tidak akan melakukan perkara sejahat itu lagi.
12 Apabila kamu tinggal di kota-kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, mungkin kamu akan mendengar 13 bahawa beberapa orang jahat daripada bangsa kamu sudah menyesatkan penduduk kota mereka sehingga penduduk di situ menyembah tuhan-tuhan yang tidak pernah kamu sembah. 14 Jika kamu mendengar khabar angin seperti itu, siasatlah hal itu baik-baik. Jika memang benar bahawa perkara jahat itu benar-benar berlaku, 15 bunuhlah semua penduduk kota itu dan juga semua ternakan mereka. Musnahkan kota itu seluruhnya. 16 Kumpulkanlah segala milik penduduk kota itu dan letakkanlah semuanya di padang kota. Kemudian bakarlah kota itu serta segala yang ada di dalamnya sebagai persembahan kepada TUHAN, Allah kamu. Kota itu mesti dibiarkan menjadi runtuhan selama-lamanya, dan tidak sekali-kali dibina semula. 17 Jangan ambil apa-apa pun yang sudah dikutuk untuk dibinasakan, maka TUHAN akan berpaling daripada kemurkaan-Nya dan mengasihani kamu. Dia akan mengasihani kamu dan menjadikan kamu bangsa yang besar bilangannya, sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu. 18 Dia akan melakukan hal itu jika kamu mentaati segala perintah-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, dan kamu melakukan apa yang dikehendaki-Nya.”